☪
Daripada Syaidatina Aisyah r.ha. menceritakan, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengalami sakit tenat, sehingga Baginda berasa tidak keruan dan mengigau kerananya.Kerana itu pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah berdoa, kemudian berdoa dan berdoa lagi. Lalu datang dua malaikat berupa dua orang laki-laki menemui Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ketika Baginda sedang tidur. Salah seorangnya duduk di sebelah kepala manakala yang seorang lagi di sebelah kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Malaikat yang berada di sebelah kaki bertanya kepada malaikat yang berada di sebelah kepala Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam: “Apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini?”
Malaikat yang di kepala: “Thabb.”
Malaikat yang di kaki: “Apakah Thabb itu?”
Malaikat yang di kepala: “Sihir.”
Malaikat yang di kaki: “Siapakah yang menyihirnya?”
Malaikat yang di kepala: “Lubaid Al A’sham, orang Yahudi.”
Malaikat yang di kaki: “Dengan apa disihirnya?”
Malaikat yang di kepala: “Sikat dan rambut yang gugur beserta mayang kurma kering.”
Malaikat yang di kaki: “Di manakah sihir itu diletakkan?”
Malaikat yang di kepala: “Dalam bungkusan daun tamar di bawah batu besar dalam telaga keluarga Zarwan.”
Malaikat yang di kaki: “Dengan apakah kita akan merawat dan memulihkan Muhammad ini?”maka yang seorang lagi membacakan beberapa ayat dari al-Quran, iaitu Surah ‘Mu’awwidataini’ (Surah Al-Falaq & Surah An-Nas).
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kemudiannya terjaga dari tidur, lalu mengutus Saidina Ali, Saidina Zubir dan Ammar ibnu Yasir pergi ke telaga tersebut. Sesampainya di sana, mereka melihat air telaga itu seperti rendaman daun inai… kemerah-merahan darah warnanya, manakala pokok kurmanya kelihatan bagaikan kepala-kepala syaitan. Mereka menimba airnya dan mengangkat seketul batu besar, kemudian menemui ‘bungkusan berikat’ tersebut lalu mereka mengambil dan mengeluarkannya dari telaga itu, seterusnya bungkusan berikat itu disampaikan pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Pada bungkusan tersebut terdapat sebelas simpulan bersama sikat rambut, gigi sikatnya dan sebelas jarum.
Kemudian Rasulullah membaca ‘Surah Mu’awwidataini’ iaitu dua surah yang diturunkan kepada Baginda dalam mimpi semalam. Setiap kali dibaca satu ayat dari kedua-dua surah tersebut (Surah Al-Falaq & Surah An-Nas), terurailah satu ikatan, sehinggalah terurai kesemua simpulannya. Maka dengan takdir-Nya,
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dapat berdiri dan seakan-akan baru terungkai dan terlepas dari belenggu ikatan. Apabila dicabut pula satu persatu jarum tersebut, terasa sakit dalam tubuh Baginda yang kemudiannya beransur hilang.
#Nur Furqan Syifa’ Malaysia
#Ruqiyah Syar’iyyah
#Perkukuhkan Tauhid Jauhi Kesyirikan